27 OGOS : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta membabitkan wang tunai serta aset bernilai jutaan ringgit.
Bekas Perdana Menteri itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Suzana Hussin ketika prosiding yang bermula kira-kira jam 9.35 pagi.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera didakwa tidak mengisytiharkan wang berjumlah RM14 juta serta pelbagai mata wang asing, lima jongkong emas seberat lima kilogram, sekeping perak dan syiling emas.
Mata wang asing itu terdiri daripada SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZD44,600, AED34.7 juta serta AUD352,850.
“Faham, tidak mengaku salah dan minta dibicarakan,” kata Ismail selepas pertuduhan dibacakan.
Beliau didakwa memberikan pernyataan bertulis tidak mematuhi terma Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bertarikh 7 Januari 2025.
Mengikut pertuduhan, pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya atau lebih tinggi menghantar notis tersebut kepadanya pada 10 Januari 2025.
Notis berkenaan menghendaki beliau mengisytiharkan harta seperti dinyatakan dalam Lampiran A.
Ismail Sabri didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun serta denda sehingga RM100,000.