27 OGOS : Karenah birokrasi kerajaan dan beban pengurusan dana penyelidikan perlu dikurangkan bagi mempercepatkan usaha inovasi serta komersialisasi di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan lama tidak sesuai digunakan untuk meneroka bidang baharu.
“Saya katakan ini terutamanya dalam dunia inovasi dan komersialisasi, mana boleh kita ikut birokrasi lama, tak mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Negara (NICE 2026), hari ini.
Menurut Anwar, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) perlu lebih berani meneroka pendekatan baharu selaras peranannya menentukan hala tuju negara dalam bidang sains, teknologi serta inovasi.
“MOSTI ini satu kementerian yang penting dari sudut hala tuju baharu, dari sudut pemikiran dan meneroka alam pemikiran dan kaedah baharu.
“Tak boleh meneroka kalau dia ikut macam nak tebas hutan belantara zaman lalu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa warga MOSTI terus memperbaiki pencapaian dan mengurangkan beban terhadap penyelidik supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada penghasilan inovasi.
Anwar turut mencadangkan lebih banyak inisiatif membabitkan sektor kerajaan, swasta, saintis serta pegawai kanan kerajaan dilaksanakan di luar bandar bagi menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Dalam negara ini, 10 ribu usaha seperti itu daripada pengurusan kerajaan dan swasta, daripada kalangan sains, daripada Ketua Pengarah dan KSU turun ke kampung dan cuba membangunkan dalam beberapa rangka kerangka pembangunan MADANI,” katanya.
