29 OGOS : UMNO bersetuju memberi ruang kepada kepimpinan negeri untuk mengadakan perbincangan dan rundingan dengan parti politik yang berminat bekerjasama menghadapi pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu antara ketetapan yang dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Kuala Lumpur, malam tadi.
Menurutnya, sebarang rundingan dengan mana-mana parti bagi menjalinkan kerjasama pada pilihan raya akan datang perlu berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan atau gertakan.
“Bersetuju untuk kepimpinan UMNO Negeri melakukan perbincangan dan perundingan dengan parti-parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi Pilihanraya akan datang.
“Sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihanraya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan dan gertakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu, malam tadi.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata mesyuarat turut mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal membabitkan sentimen rakyat, terutama orang Melayu, yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan.
“UMNO mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal yang dilakukan oleh pelbagai agensi dan penyelidik di kalangan ahli akademik yang menjurus kepada sentimen rakyat terutamanya orang Melayu yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan dan kepentingan keindukan Melayu menjadi teras kepada kestabilan politik negara,” katanya.
Selain itu, Asyraf turut memaklumkan parti itu menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang perlu sentiasa dihormati dan dijunjung dengan seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahan oleh mahkamah berbidang kuasa.
“Sebarang tindakan untuk memalukan atau mengaibkan seseorang, termasuk membentuk persepsi seolah-olah individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan sudah pun bersalah adalah bertentangan dengan prinsip keadilan, anggapan tidak bersalah (Presumption of Innocence) serta semangat kedaulatan undang-undang.
“UMNO konsisten bahawa parti tidak akan pernah mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan, penyimpangan yang dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk ahli dan kepimpinan parti yang wajib dihadapkan ke muka pengadilan melalui proses undang-undang,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang dijadual berlangsung 9 September hingga 12 September depan, UMNO akan memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi PAS.
Menurutnya, jemputan itu sebagai tanda penghormatan dan membalas jemputan diberikan kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS.
Mesyuarat MKT UMNO turut menyaksikan pelantikan dan upacara angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim sebagai Ahli MKT UMNO.