29 OGOS : Seramai 11,060 sukarelawan Sahabat MADANI sudah berdaftar di seluruh negara setakat 24 Ogos lalu, mencerminkan penglibatan masyarakat dalam gerakan kesukarelawanan nasional.
Menurut Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Sahabat MADANI diperkenalkan sebagai gerakan kesukarelawanan bagi memperkukuh nilai hormat, menyatukan masyarakat serta menggerakkan khidmat bakti merentasi kaum, agama dan latar belakang.
“Jaringan ini memberi tumpuan kepada khidmat masyarakat yang membawa manfaat langsung, termasuk menyantuni golongan memerlukan, membantu anak-anak yang tercicir pendidikan, membuka peluang kerjaya dan perniagaan kepada belia serta menghulurkan bantuan ketika musibah.
“Roh dan jiwa reformasi diterjemahkan melalui Sahabat MADANI dengan membentuk jaringan kerjasama nasional antara kerajaan, sukarelawan dan komuniti yang berteraskan tindakan, ketelusan serta keberhasilan untuk rakyat,” menurut ICU JPM dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Sahabat MADANI Peringkat Kebangsaan pada Majlis Kemuncak Ambang Medeka Sahabat MADANI di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, hari ini.
Menurut ICU JPM, melalui penyelarasan secara tersusun, inklusif dan responsif membolehkan khidmat serta intervensi disalurkan mengikut keperluan sebenar, selain memperluas manfaat pembangunan dan memperkukuh keupayaan komuniti juga memastikan tiada golongan tercicir.
ICU JPM berkata, Sahabat MADANI turut menjadi wadah untuk rakyat menzahirkan semangat kemerdekaan melalui kesediaan berkhidmat, memelihara integriti serta membantu golongan memerlukan.
“Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan, semangat kemerdekaan diterjemahkan bukan sahaja melalui kibaran Jalur Gemilang, tetapi juga menerusi kesediaan rakyat untuk berkhidmat, memelihara integriti dan membela mereka yang memerlukan.
“Khidmat bakti merentasi perbezaan menjadi landasan memupuk keharmonian, mempererat hubungan masyarakat serta menyatukan rakyat dalam usaha membebaskan negara daripada kemiskinan, kesempitan hidup, rasuah dan ketidakadilan,” kata ICU JPM.
ICU JPM berkata , berpaksikan aspirasi Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, Sahabat MADANI dihasratkan menjadi kekuatan kolektif yang membudayakan rasa peduli, tanggungjawab dan penyertaan aktif seluruh lapisan masyarakat.
“Generasi muda khususnya diseru menolak sentimen perpecahan serta menyumbang tenaga dan kepakaran demi kemajuan negara.
“Inilah jiwa merdeka yang mahu dibina, rakyat yang bersatu dalam khidmat, teguh dalam keharmonian dan bergerak bersama memastikan kesejahteraan dapat dinikmati oleh semua,” menurut kenyataan itu lagi.
