9 SEPT : Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim direman dua hari bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan hibah.
Perintah reman terhadap Abdul Azeez, 60 dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Mohamad Afiq Zuber di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas membenarkan permohonan pihak polis.
Selain Abdul Azeez, turut direman bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH dan bekas Ketua Pegawai Kewangan TH.
Peguam Abdul Azeez, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, anak guamnya direman sehingga Khamis bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan membabitkan hibah.
“Polis memohon perintah reman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Abdul Azeez yang memakai baju lokap polis berwarna ungu turut digari ketika dibawa ke mahkamah.
Namun pihak media gagal mendapatkan gambarnya di mahkamah susulan bekas Ahli Parlimen Baling itu dibawa masuk Abdul Azeez melalui laluan dalam.
Media sebelum ini melaporkan Abdul Azeez akan didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 27 Ogos hingga 2 September bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.