9 SEPT : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mendakwa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi yang tular semalam secara paksaan dan tanpa kerelaan.
Beliau berkata, laporan polis sudah dibuat kira-kira jam 6 petang semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.
“Merujuk kepada isu dokumen Surat Cara Proklamasi (Surat Cara tersebut) yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 September 2026, saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress),” katanya dalam kenyataan media. hari ini.
Menurut Ismail, kerajaan negeri berpandangan Surat Cara berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Oleh itu, ia adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya.
Kontroversi berhubung Surat Cara Proklamasi itu tercetus susulan dokumen berkenaan tular pada malam 8 September ketika timbul isu berkaitan adat dan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Dalam pada itu, Ismail berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil. 5 Tahun 2026 yang bersidang semalam turut membincangkan penubuhan Jawatankuasa Pendamai.
Katanya, jawatankuasa itu akan menjadi wadah untuk mencari penyelesaian terhadap isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.
Kerajaan negeri pada masa sama turut merujuk Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain memperuntukkan jaminan Persekutuan terhadap hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.
“Persekutuan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara,” katanya.
Ismail turut menzahirkan sokongan penuh serta taat setia tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat.
*Foto : Media MBNS