12 SEPT : UMNO mencabar mana-mana pihak yang mahu parti itu dan Barisan Nasional (BN) disingkir daripada Kerajaan Perpaduan agar mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia memerlukan mandat baharu jika perkara itu berlaku.
“Jika kita diminta keluar, jadi logik 112 kerusi pun tiada. Wajarnya mandat baharu mesti diperoleh.
“Pilihan cuma ada dua, satu dapatkan semula mandat baharu dengan mengadakan PRU. Kedua, keluarkan kami secara rasmi dan buat undi tidak percaya di Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan berlandaskan amanah kepada negara dan titah Yang di-Pertuan Agong untuk menjamin kestabilan pentadbiran serta kepentingan rakyat.
“Matlamat utama UMNO dan BN adalah memastikan kestabilan pentadbiran negara demi kepentingan rakyat, bukannya mengorbankan perjuangan parti. Kerjasama kita bentuk atas amanah kenegaraan, patuh pada titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong.
“Niat kita apa? UMNO dan BN kita mahu wujudkan kestabilan pentadbiran demi kepentingan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.
Tekannya, kerjasama dalam kerajaan tidak bermakna identiti atau prinsip masing-masing perlu dikorbankan.
“Kerjasama bukan penyerahan, saya ulang, kerjasama bukan penyerahan. Kita boleh bekerjasama tanpa kehilangan identiti, berunding tanpa menggadaikan prinsip, mencari persamaan sambil menghormati perbezaan,” katanya.