15 SEPT : MyKad versi baharu dengan kira-kira 50 ciri keselamatan tambahan akan mula ditawarkan kepada orang ramai pada 17 September ini, dengan permohonan fasa pertama dibuka di 40 pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak berpusu-pusu mendapatkan MyKad baharu bagi mengelakkan kesesakan di pejabat JPN.
“KDN tempoh hari sepatutnya kita meluncurkan MyKad versi baharu pada 1 Julai. Namun tarikh itu kita anjak kepada 17 September ini.
“Maknanya MyKad versi baharu dengan lebih kurang 50 ciri keselamatan baharu akan menggantikan MyKad versi lama yang telah kita keluarkan sejak 12 tahun. Jadi tempoh 12 tahun itu, kita keluarkan pula versi baharu.
“17 September permohonan untuk mendapatkan MyKad versi baharu dibuka kepada orang ramai di 40 pejabat pengeluar ataupun pejabat JPN seluruh negara.
“Cuma saya nak nasihatkan supaya tidak berpusu-pusu segera menggantikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan tajaan umrah kepada Nurul Arini Abdullah, 19 dan ibunya, Norini Basir, 62 di Port Dickson, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, ketika ini kira-kira 24 juta MyKad sudah dikeluarkan kepada pemegang berusia 12 tahun ke atas, manakala kadar pengeluaran baharu atau penggantian kad sedia ada adalah antara 180,000 hingga 200,000 sebulan.
“Purata pengeluaran MyKad sekarang sebulan adalah 180,000 ke 200,000 sebulan. Maknanya penggantian MyKad rosak, MyKad hilang, mohon MyKad baharu, segala macam, 180,000 ke 200,000.
“Jadi, bila saya nasihatkan supaya tidak berpusu-pusu, kita nak mengelak daripada 180,000 ke 200,000, tiba-tiba dia melonjak 500,000 kerana nak memiliki MyKad baharu,” katanya.
Menurutnya, MyKad lama masih boleh digunakan sehingga proses penggantian kad berkenaan dilakukan secara berperingkat.
“Jadi, kita rancang dahulu. Terutama sekarang ini urus niaga kita dalam program-program kebajikan kerajaan ini banyak memerlukan MyKad. SARA misalnya, MyKad. Nak pergi beli minyak, MyKad. Jadi banyak penggunaannya itu sangat intensif.
“Oleh itu, sementara kita bersedia untuk mengeluarkannya bermula 17 September, nasihat saya untuk tidak berpusu-pusu dahulu bagi mengelakkan kesesakan luar biasa. MyKad lama masih boleh digunakan sehingga kita phase out kad itu,” katanya.
Saifuddin berkata, pengenalan MyKad baharu bertujuan meningkatkan lagi tahap keselamatan dokumen pengenalan diri berkenaan selepas versi sedia ada digunakan selama 12 tahun.
Beliau berkata, tahap integriti MyKad sedia ada kekal tinggi dengan hanya kira-kira 600 kes percubaan pemalsuan dikesan sepanjang tempoh itu.
“Rekod kita adalah yang kita dapat kesannya dalam 600-an sahaja jumlahnya dalam tempoh yang sekian lama. Itu mungkin digunakan untuk melepasi sekatan jalan raya. Tetapi nak guna untuk transaksi minyak tak lepas, nak guna untuk transaksi bank tak lepas. Tetap tak lepas,” katanya.