18 SEPT : Barisan Nasional (BN) menyambut keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan penuh kesyukuran yang memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata keputusan itu amat besar maknanya kepada Najib dan keluarganya serta seluruh keluarga besar BN yang sentiasa mendoakan agar segala urusan bekas Perdana Menteri itu dipermudahkan.
“Keputusan ini amat besar maknanya kepada Datuk Seri Najib dan keluarga beliau, malah kepada seluruh keluarga besar Barisan Nasional yang sentiasa menitipkan doa dan mengharapkan agar segala urusan beliau diberi kelancaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, BN turut menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas limpah perkenan baginda yang menzahirkan keputusan Lembaga Pengampunan hingga membolehkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah.
Zambry berkata, BN berpendirian proses permohonan berkaitan perkara itu disampaikan melalui saluran yang sah dengan menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“BN berpendirian bahawa proses permohonan berkaitan perkara ini telah disampaikan dengan penuh tertib, melalui saluran yang sah, dengan menghormati institusi Yang DiPertuan Agong, Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Katanya, BN menyambut perkembangan itu dengan penuh kesyukuran, ketenangan dan adab, selain menghormati segala syarat serta proses yang ditetapkan.
“Dalam menelusuri perkembangan ini, BN akan terus berpegang teguh pada prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang yang menjadi tunjang keamanan, kestabilan serta kemakmuran negara,” katanya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-64 yang berlangsung di Istana Negara hari ini.
Najib sebelum ini menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan terhadapnya dalam kes SRC International.
Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara daripada 12 kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.