20 SEPT : Sebanyak 212 projek pembangunan bernilai RM41.16 juta berjaya dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara sepanjang tiga tahun pentadbiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata projek itu merangkumi pelbagai sektor termasuk kesihatan, pendidikan, keagamaan, bekalan air, kemudahan masyarakat serta perlindungan kawasan pesisir bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Antara projek yang sudah dilaksanakan termasuk kerja pembaikan dan naik taraf bangunan, infrastruktur serta sistem kejuruteraan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah bernilai hampir RM800,000.
“Seterusnya, kita turut melaksanakan projek tangki sedutan berserta pam ke tangki Tanjung Bidara sedia ada bernilai RM1.3 juta, selain projek pengawalan hakisan pantai di Pengkalan Balak yang melibatkan RM21.5 juta,” katanya, lapor Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara, malam tadi.
Ab Rauf berkata, beberapa lagi projek kini sedang dilaksanakan termasuk Dewan Terbuka Pasir Gembur bernilai RM500,000, tambahan bilik darjah IBS Modular di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak berjumlah RM800,000 serta kerja menaik taraf bumbung Masjid Al-Jawahir, Pengkalan Balak bernilai RM1.3 juta.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata pembangunan fizikal perlu bergerak seiring dengan usaha memastikan kebajikan rakyat Tanjung Bidara terus dipelihara.
“Bagi saya, pembangunan fizikal sahaja tidak memadai kalau kebajikan rakyat tidak kita pelihara.
“Sejumlah RM11.94 juta juga telah disalurkan kepada 2,512 penerima sebagai tanggungjawab saya meringankan beban rakyat Tanjung Bidara,” katanya.
