21 SEPT : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
Beliau berkata, pendirian itu dibuat berdasarkan tafsiran terhadap peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 khususnya berkaitan kuasa eksekutif serta kedudukan EXCO.
Menurutnya, Perkara 40(1) UUTKNS 1959 menetapkan Yang di-Pertuan Besar hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran negeri.
Katanya, kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar dalam urusan pentadbiran pula hanya meliputi perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2).
“Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ismail berkata, Perkara 38(5) UUTKNS 1959 berkaitan tempoh perjawatan EXCO juga perlu dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).
Menurutnya, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO ketika pentadbiran sedang berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar.
“Oleh yang demikian, ditegaskan bahawa mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan, dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang,” katanya.
Ismail turut menegaskan beliau tidak pernah dirujuk atau memberikan nasihat berhubung pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS.
“Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baru kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran serta mandat rakyat dipelihara berlandaskan undang-undang.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengumuman Istana Negeri Sembilan memaklumkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkuat kuasa serta-merta.