22 SEPT : Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan memaklumkan perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas bagi kedua-dua jawatan itu berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Menurut AGC, perkara itu diperuntukkan di bawah Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Berhubung dengan Kenyataan Media Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 22 September 2026 mengenai penggantungan tugas SU dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang berkuat kuasa serta merta, jabatan ini berpandangan MMKN Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang kedua-dua jawatan tersebut,” menurut kenyataan itu, malam ini.
Hari ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengumumkan penggantungan tugas SUK Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat khas exco yang berlangsung, hari ini.
Dalam pada itu, AGC menjelaskan pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu perlu mematuhi Perkara 37 UUTKNS.
Menurutnya, jawatan berkenaan hendaklah dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Pada 16 September, barisan Exco Negeri Sembilan memutuskan secara sebulat suara bahawa proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April 2026 adalah sah.
Namun pada 17 September 2026, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbiran negeri tidak akan mewartakan atau mengambil tindakan pelaksanaan terhadap Proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Mohd Zafir menjelaskan keputusan itu dibuat selepas pentadbiran negeri menerima pandangan AGC bahawa proklamasi berkenaan tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.