7 NOV : Dakwaan kononnya wujud kem Datuk Seri Jalaluddin Alias dan kem Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim hanya cubaan pihak tertentu untuk melaga-lagakan kepimpinan parti di negeri ini.
Menurut Jalaluddin, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat bersama Ketua-Ketua Bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN hari ini sebelum semua pihak mencapai kesepakatan bahawa tiada sebarang perpecahan dalam parti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu berkata, ada pihak sengaja mengambil kesempatan ekoran polimik di negeri.
“Sepanjang pengetahuan saya dan rakan-rakan Ketua Bahagian serta ADUN, solidariti dan ikatan UMNO di Negeri Sembilan termasuk BN sangat kuat.
“Kita tidak ada sebarang kem. Kita hanya menjurus kepada tugas dan tanggungjawab untuk melaksanakan mandat yang diberikan kepada BN dan Perikatan Nasional (PN) pada 1 Ogos lalu,” katanya di Wisma UMNO, di Seremban, hari ini.
Dalam pada itu, Jalaluddin yang juga Adun Pertang menegaskan, beliau tidak pernah mempunyai niat untuk menjatuhkan Ismail, selain menafikan dakwaan kononnya UMNO akan membuat keputusan undi tidak percaya terhadap pemimpin itu.
“Sejak bila anda dengar saya nak menjatuhkan Menteri Besar? Tidak ada. Cerita mengatakan hari ini kita akan buat keputusan undi tidak percaya kepada Menteri Besar juga tidak benar.
“Tugas saya sebagai ketua parti adalah memastikan kestabilan politik di negeri ini dapat diperkukuh dari semasa ke semasa, manakala tugas Menteri Besar adalah meneruskan urus tadbir kerajaan,” katanya.
Jalaluddin turut mengakui pernah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, seperti dilaporkan sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, pertemuan itu bukan satu isu kerana beliau akan sentiasa akur sekiranya dititahkan untuk menghadap baginda.