7 NOV : Pencapaian Melaka di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) jauh lebih baik berbanding ketika negeri itu diperintah Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu bukan sekadar cakap kosong sebaliknya sudah terbukti dengan data dan fakta yang dibentangkan saban tahun ketika Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh menerajui kerajaan negeri.
Beliau yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau berkata, lebih 16,000 peluang pekerjaan diwujudkan pada 2024 berbanding hanya kira-kira 1,900 ketika PH mentadbir Melaka pada 2019.
Bagi sektor pelaburan pula, katanya, Melaka merekodkan RM14.8 bilion pada 2025 berbanding hanya RM2 bilion pada 2019 ketika Adly Zahari memegang tampuk kepimpinan negeri.
“Jadi, rekod dah ada. Dia kata dia terbaik. Eh, pelaburan, budak ini (Ab Rauf) yang paling tinggi, peluang pekerjaan, budak ni yang paling tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai sempena lawatan Ab Rauf ke kawasan itu, hari ini.
Akmal yang juga EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka dalam penggal lalu berkata, pencapaian pentadbiran Ab Rauf turut merangkumi kelulusan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).
Beliau mendakwa tiada satu pun projek RTB diluluskan sepanjang 22 bulan PH mentadbir negeri itu.
Malah, katanya, Melaka turut mencatatkan rekod tertinggi dalam sektor pelancongan di bawah kepimpinan Ab Rauf.
Sehubungan itu, beliau mengajak pengundi memberikan sokongan kepada BN bagi memastikan Ab Rauf terus diberi mandat sebagai Ketua Menteri.
“Kalau nak kekalkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri, maka kita wajib menangkan Barisan Nasional di Melaka,” katanya.