25 SEPT : Dari peringkat bayi hingga ke universiti, Kerajaan Negeri Melaka terus memperluas sokongan pendidikan bagi memastikan anak negeri mendapat peluang membina masa depan yang lebih baik.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata lebih RM196 juta diperuntukkan bagi pembangunan prasarana sekolah, bantuan pendidikan serta program pemerkasaan modal insan.
Menurutnya, pelbagai inisiatif itu sudah memanfaatkan lebih 140,000 anak Melaka.
“Suka saya tekankan di sini bahawa Kerajaan Negeri Melaka tidak pernah berkompromi dalam memperkasa agenda pendidikan menerusi pelbagai dasar dan program pembangunan yang berimpak tinggi.
“Usaha berterusan ini adalah untuk melahirkan generasi modal insan yang berwibawa dan berkualiti demi masa depan negeri tercinta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka Mesra Pendidikan SPM dan STPM 2026, hari ini.
Ab Rauf berkata komitmen berkenaan selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang memberi perhatian kepada pembangunan pendidikan serta kesejahteraan generasi muda.
Katanya, peruntukan yang disediakan merangkumi pembangunan prasarana sekolah, bantuan pendidikan dari peringkat bayi hingga universiti serta program pemerkasaan modal insan.
“Justeru, inilah bukti nyata kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan agenda pembangunan pendidikan dan kesejahteraan generasi muda tidak pernah sesekali dipinggirkan, demi menjamin kesejahteraan dan masa depan seluruh rakyat di negeri Melaka ini,” katanya.
Ab Rauf berkata program berkenaan memberi ruang untuk calon menerima nasihat dan tunjuk ajar sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM dan STPM 2026.
Beliau turut berharap usaha memperkukuh pendidikan dapat membantu Melaka melahirkan generasi pelapis yang cemerlang dalam pendidikan serta mampu menerajui negeri dan negara pada masa depan.
Program itu menghimpunkan 308 calon SPM, 220 calon STPM serta 95 guru pembimbing secara bersemuka, manakala 11,415 calon SPM 2026 menyertainya secara dalam talian.
Enam sekolah yang terlibat secara hibrid melibatkan SMK Bukit Katil, SMK Padang Temu, SMK Agama Sharifah Rodziah, SMK Sungai Udang, SMK Seri Mahkota dan SMK Klebang Besar.
