30 SEPT : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan terbaharu lebih 1,000 pendatang haram Israel dan pegawai kanan rejim Zionis Israel ke Kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada 28 September lalu.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini berkata, pencerobohan itu dilakukan di bawah perlindungan tentera rejim Zionis Israel dan diketuai Menteri Keselamatan Negara rejim berkenaan.
Menurut kementerian itu, tindakan pencerobohan berulang pendatang haram Israel serta pegawai kanan rejim tersebut merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta status quo sejarah dan undang-undang yang mentadbir Baitulmaqdis Timur dan Al-Haram Al-Sharif.
“Tindakan-tindakan ini bukan sekadar provokasi terpencil, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha berterusan rejim Zionis Israel untuk mengubah identiti dan ciri-ciri Masjid Al-Aqsa serta Baitulmaqdis Timur yang diduduki,” menurut kenyataan itu.
Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha sedemikian dan menegaskan kesucian Al-Haram Al-Sharif serta hak beragama jemaah Islam mesti dihormati dan dipelihara.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengambil tindakan segera dan konkrit bagi memaksa rejim Zionis Israel menghentikan serta-merta pelanggaran berkenaan.
“Rejim Zionis Israel hendaklah dipertanggungjawabkan atas usaha berterusannya untuk menjejaskan status quo sejarah dan undang-undang di Al-Haram Al-Sharif,” kata kementerian itu.
Malaysia turut menegaskan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin serta hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan nasib sendiri.
Malaysia mengulangi pendirian konsistennya bagi penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.