3 OKT : Dakwaan penerima bantuan makanan bulanan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terpaksa membeli barangan pada harga tinggi mengundang perhatian termasuk berkait harga mi segera mencecah RM7 sebungkus yang tular di media sosial.
Namun, hasil siasatan mendapati harga barangan di kedai panel MAIM adalah sama bagi penerima bantuan dan pelanggan biasa, selain berada pada kadar yang munasabah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata tiada tindakan sengaja menaikkan harga kepada penerima bantuan MAIM dikesan hasil siasatan yang dijalankan.
“Hasil siasatan mendapati harga jualan di kedai-kedai panel berkenaan normal, mengenakan harga yang sama kepada penerima bantuan MAIM mahupun pelanggan biasa.

“Sehubungan itu, tidak wujud sebarang tindakan sengaja meletakkan harga yang tinggi khasnya kepada penerima bantuan MAIM,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menuntut pihak yang membuat dakwaan agar mendedahkan kedai yang dimaksudkannya dalam hantaran tular tersebut.
“Jadi, saya nak tahu juga, kedai di mana yang disebut itu? Kalau boleh beritahu saya. Jika betul kedai itu mengenakan harga yang tinggi, kita berhentikan daripada jadi ahli panel,” katanya.
Menurut Rahmad, dakwaan harga mi segera hampir RM7 sebungkus itu merujuk kepada produk Maggi Big dan semakan mendapati harganya masih dalam julat berpatutan.
“Tapi RM7 yang dinyatakan itu adalah satu nilai atau harga yang munasabah. Semakan harga di kedai panel (MAIM) di Bukit Katil RM7.20 manakala di Masjid Tanah pula dijual pada julat harga RM7 hingga RM7.40 mengikut perisa.Harga di pasaraya besar RM6.70 hingga RM7.15.
“Jadi harga di panel MAIM ini berpatutan. Perbezaan sedikit harga pasaraya besar dengan kedai kampung mestilah ada sedikit perbezaan,” katanya.
Rahmad berkata pelantikan peruncit sebagai panel MAIM turut bertujuan membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat di kawasan kampung.
“Kita melantik peruncit-peruncit menjadi panel tujuannya meningkatkan taraf ekonomi di kampung-kampung.
“Jadi dakwaan itu tidak benar. Kalau harga sampai RM10, RM12 itu saya akan ambil tindakan, berhentikan panel kedai itu,” katanya.
Beliau mengingatkan pelbagai saluran disediakan untuk penerima bantuan membuat aduan kepada kerajaan negeri.
Terdahulu, tular satu tangkap layar yang mendakwa harga barangan yang dikenakan kedai panel MAIM sebagai ‘cekik darah’.