5 OKT : Persoalan mengenai harga hampir RM8 juta bagi menaik taraf Jejantas Tun Teja di Melaka Sentral kini mendapat perspektif berbeza apabila seorang arkitek dan beberapa individu dalam bidang berkaitan tampil memberikan anggaran kasar kos kerja berkenaan.
Pelakon yang juga arkitek terkenal, Azhar Sulaiman berpandangan kos berkenaan munasabah berdasarkan skop pembinaan dan kos semasa.
“Sebagai design architect, pada Behar kos pembinaan Jejantas Tun Teja RM8mil adalah justified.
“Kos to maintain RM2mil setahun adalah allocation RM55k per month dan hanya bayar kalau ada repairs. Terbaik cara ni. (Kos penyelenggaraan RM2 juta setahun itu diperuntukkan kira-kira RM55,000 sebulan dan hanya dibayar apabila kerja permbaikan dibuat)
“Nota Kaki – Kos pembinaan Jejantas Saloma di KL (Kuala Lumpur) ialah RM31 juta,” tulisnya di Facebook.
Azhar turut memuat naik status meminta kontraktor menyatakan pandangan mengenai Jejantas Tun Teja itu yang kini jadi modal serangan DAP menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka.
Antara pandangan yang diterima daripada Khaled Nordin, seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai practising facade engineer menganggarkan kos kerja berkaitan muka bangunan (facade) termasuk reka bentuk, pembekalan, fabrikasi dan pemasangan, sahaja boleh berada pada lingkungan RM6 juta hingga RM7 juta bagi struktur dengan reka bentuk kompleks.
Menurutnya, faktor lain seperti pengurusan trafik, penambahbaikan struktur sedia ada, pencahayaan muka bangunan serta kerja pada waktu malam boleh meningkatkan lagi kos, dengan anggaran keseluruhan mencecah RM9 juta hingga RM10 juta bagi spesifikasi dan prestasi tinggi.

Beliau menganggarkan kos sekitar RM8 juta hingga RM9 juta bagi spesifikasi dan prestasi lebih rendah.
Seorang lagi pengguna yang menulis komen, Wan Zack Rahman pula menarik perhatian kepada satu perkara yang mungkin terlepas pandang dalam perbandingan kos, iaitu Jejantas Tun Teja bukan dibina dari kosong.
“Jumlah RM8 juta ini merangkumi keseluruhan skop reka bentuk dan bina, alihan utiliti, komponen M&E (mekanikal dan elektrikal), pembaikan struktur asas, hingga kemasan mercu tanda pelancongan. Dan kena ingat, ini upgrading projek..(renovation), bukan projek baru. tak sama kaedah urutan kerjanya,” tulisnya.
Perbezaan antara projek bina baharu dengan kerja menaik taraf struktur sedia ada turut dibangkitkan beberapa pengguna lain.
Menurut mereka, kerja menaik taraf boleh menjadi lebih rumit kerana kontraktor perlu bekerja pada struktur sedia ada, ruang yang terhad serta kawasan awam yang masih digunakan, selain mengambil kira faktor keselamatan dan pengurusan trafik.
Jejantas berkenaan sebelum ini merupakan Jejantas Melaka Sentral yang dinaik taraf dan dijenamakan semula sebagai Jejantas Tun Teja.
Projek itu mempunyai panjang keseluruhan kira-kira 500 meter dan menampilkan konsep warisan seni bina Istana Melaka, selain lebih 4,500 lampu LED, empat laluan pejalan kaki serta elemen pencahayaan dan interaktif. Kos keseluruhan yang diumumkan ketika perasmian ialah hampir RM7.9 juta.
Perkara itu menjadikan perbandingan antara kos membina struktur baharu dengan menaik taraf jejantas sedia ada kurang tepat jika hanya melihat kepada nilai akhir projek, tanpa mengambil kira kaedah kerja dan skop yang terlibat.
Isu kos Jejantas Tun Teja menjadi perhatian selepas pemimpin DAP Melaka mempersoalkan kewajaran perbelanjaan hampir RM8 juta serta meminta penjelasan mengenai skop dan pecahan kos projek.
Namun, pandangan yang dikongsikan di media sosial berhubung kos tersebut adalah anggaran individu dan bukan pengesahan rasmi kos projek.
Apa yang pasti, jejantas berkenaan bukan sekadar laluan pejalan kaki lama yang dicat semula, sebaliknya melalui proses naik taraf yang merangkumi struktur, reka bentuk, pencahayaan, elemen pelancongan dan kemudahan berkaitan.