5 OKT : Tunggakan kutipan hasil kerajaan mencecah RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September lalu, menyebabkan Kementerian Pengangkutan (MOT) menggantung perkhidmatan My E.G. Sdn Bhd (MYEG) dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), berkuat kuasa hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata jumlah itu membabitkan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan MOT dalam tempoh ditetapkan.
Menurutnya, keputusan menggantung perkhidmatan berkenaan dibuat selepas syarikat terbabit gagal memenuhi kewajipan memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh ditetapkan.
“MYEG telah dilantik sebagai ejen pemungut JPJ bagi perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Pertukaran Hak Milik Kenderaan Motor, perkhidmatan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan pembayaran saman secara elektronik sejak tahun 2000.
“Syarikat tersebut bertanggungjawab memindahkan kutipan hasil kerajaan secara harian mengikut ketetapan satu hari bekerja selepas transaksi dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media, hari ini.

Anthony berkata MOT dan JPJ sudah mengambil beberapa langkah bagi mendapatkan semula kutipan berkenaan, termasuk mengadakan empat sesi libat urus sejak Mei lalu bersama semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan.
Menurutnya, sebanyak 35 notis peringatan dikeluarkan selain tempoh penyelesaian tunggakan ditetapkan kepada syarikat terbabit.
“Pada 21 Ogos 2026, pihak syarikat menyerahkan cek bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta sebagai penyelesaian tunggakan pada ketika itu.
“Walau bagaimanapun, apabila cek tersebut dikreditkan pada 30 September, pihak bank tidak memproses cek tersebut atas arahan pihak syarikat,” katanya.
Anthony bagaimanapun memberi jaminan langkah itu tidak menjejaskan perkhidmatan JPJ kepada rakyat kerana urus niaga berkaitan masih boleh dilakukan melalui saluran alternatif.
“Antaranya aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter dan kios JPJ serta saluran lain yang ditetapkan oleh jabatan,” katanya.
Bagi pembayaran saman membabitkan bukan warganegara Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, JPJ menyediakan kemudahan pembayaran melalui Kaunter Mobile JPJ di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.
Kemudahan berkenaan beroperasi dari 8 pagi hingga 10 malam bagi memastikan urusan pembayaran saman berjalan lancar di kedua-dua pintu masuk itu.
Anthony berkata MOT dan JPJ turut mengambil tindakan perundangan sewajarnya bagi mendapatkan semula keseluruhan tunggakan kutipan hasil kerajaan daripada MYEG.
“Kerajaan memandang serius sebarang ketidakpatuhan dalam pengurusan dan pemindahan hasil awam serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab berkaitan wang kerajaan.
“MOT dan JPJ akan terus memastikan kepentingan rakyat kekal dilindungi dan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas,” katanya.