7 OKT : Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tetap diteruskan di negara ini namun Kerajaan MADANI tidak menolak elemen tertentu dalam Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang boleh memperkemas sistem percukaian negara.
Pendekatan itu bagi mengelakkan kesan bertindih dan berganda dalam sistem percukaian, selain memastikan mekanisme kutipan hasil tidak membebankan pengguna serta perniagaan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata keputusan itu berikutan sistem tersebut lebih mudah difahami dan mempunyai sejarah pelaksanaan lebih 50 tahun.
Pada masa sama katanya, kerajaan sudah melaksanakan sistem e-Invois, yang meningkatkan lagi kecekapan pengurusan pentadbiran percukaian negara.
“Ramai mencadangkan GST kerana sistem ini diamalkan negara lain. GST atau Cukai Nilai Tambah (VAT) bermula di Perancis pada 1954 dan ketika itu, tiada e-Invois. Kini kita sudah ada e-Invois, maknanya tidak ada ketirisan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) sama ada kerajaan merancang menggabungkan SST dan GST seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau akan mempertimbang pelaksanaan GST.
Dalam pada itu, Chin Tong, berkata sekiranya GST dilaksanakan, ia akan memerlukan 480,000 syarikat sebagai ejen pemungut cukai, berbanding SST yang hanya memerlukan 80,000 syarikat sahaja.
“Apa yang kita nak wujudkan adalah satu sistem yang tidak mengganggu pihak teramai dan GST ada laluan terus kepada pengguna.
“Kerajaan mahu mewujudkan satu keseimbangan supaya pengguna tidak diganggu dan memastikan tidak ada kesan bertindih kepada perniagaan,” katanya.
Pada sesi sama, beliau memaklumkan hasil kutipan cukai meningkat 9 peratus bagi tahun semasa, berbanding tahun sebelumnya iaitu RM129.6 bilion, berbanding RM119.1 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, peningkatan hasil itu disumbangkan, antaranya oleh kutipan cukai pendapatan syarikat yang lebih tinggi serta kutipan cukai jualan dan perkhidmatan, terutama sektor makanan dan minuman, perkhidmatan insurans serta logistik.
“Kerajaan komited mencapai sasaran kutipan hasil cukai bagi keseluruhan 2026 berjumlah RM343.1 bilion.Pertumbuhan ekonomi makro yang stabil dijangka terus memberi kesan positif kepada peningkatan kutipan cukai.
“Langkah reformasi percukaian yang bersasar turut berperanan memastikan mekanisme kutipan hasil yang lebih efektif dan menjadi asas dalam membina kepercayaan pelabur, kestabilan ekonomi serta daya saing negara,” katanya.