8 OKT : Kerajaan Myanmar bersedia menerima sehingga 4,000 lagi warganya yang masih berada dalm depot tahanan imigresen Malaysia.
Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing menyatakan kesediaan itu dalam pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra, hari ini.
“Presiden turut menyebut bahawa antara 3,000 hingga 4,000 individu yang kini berada di depot tahanan akan dihantar pulang.
“Mana-mana individu yang dapat disahkan berasal dari Myanmar boleh diterima pulang, namun semakan rekod jenayah dan prosedur berkaitan perlu dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Min Aung Hlaing sempena lawatan rasmi Presiden Myanmar itu ke Malaysia, hari ini.
Kesediaan itu dibuat ketika Malaysia masih mempunyai ribuan warga Myanmar dalam tahanan imigresen yang menunggu proses dokumentasi dan pengesahan sebelum boleh dihantar pulang.
Sehingga kini, Anwar memaklumkan Malaysia sudah menghantar pulang lebih 10,493 warga Myanmar menggunakan penerbangan dan kapal tentera laut.
Proses berkenaan turut diselaraskan pihak berkuasa serta angkatan laut kedua-dua negara, termasuk bagi memastikan identiti dan dokumen perjalanan tahanan dapat disahkan.
Pada masa sama, Anwar merakamkan penghargaan kepada kerajaan Myanmar kerana bersedia menerima rakyatnya dalam jumlah besar, termasuk menanggung kos penghantaran pulang.
“Tidak banyak negara, berdasarkan pengalaman saya, yang bersedia menerima penghantaran pulang dalam jumlah besar dengan menanggung perbelanjaan sendiri seperti yang ditunjukkan Myanmar,” katanya.
Beliau berkata rundingan lanjut mengenai penghantaran pulang baki warga Myanmar akan diteruskan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan pihak berkuasa negara itu.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat dua hala bagi memperkukuh hubungan Malaysia dan Myanmar serta memperluas kerjasama demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
Menurut Anwar, perbincangan merangkumi bidang perdagangan, ekonomi, tenaga dan keselamatan, selain usaha menangani jenayah rentas sempadan yang memerlukan penyelarasan serta komitmen bersama.
“Saya menekankan kepentingan dialog yang inklusif bagi menjayakan usaha perdamaian dan rekonsiliasi di Myanmar, selain menyatakan kesediaan Malaysia untuk memudah cara proses ini ke arah keamanan yang berkekalan.
“Kesejahteraan rakyat mesti menjadi keutamaan, khususnya perlindungan orang awam dan akses bantuan kemanusiaan yang selamat kepada semua komuniti terjejas,” katanya.
