Krisis takhta bukan modal politik, Raja-Raja Melayu beri peringatan
14 OKT : Raja-Raja Melayu menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berautoriti menyelesaikan pertikaian itu mengikut saluran yang sah.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Raja-Raja Melayu turut mengingatkan supaya isu berkenaan tidak sesekali dijadikan modal meraih sokongan atau medan memenuhi agenda perebutan kuasa.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyeru pihak-pihak luar tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis institusi takhta Yang di-Pertuan Besar, yang sedang dihadapi oleh negeri dan rakyat di Negeri Sembilan.
“Usaha penyelesaian hendaklah diserahkan kepada pihak yang berkepentingan dan berautoriti untuk diselesaikan melalui saluran yang sah, tertib dan berwibawa,” menurut Syed Danial dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, semua pihak yang terlibat perlu mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta menghormati adab, adat dan maruah institusi diraja ketika mencari penyelesaian.
Sebarang perbezaan pendirian, katanya, hendaklah ditangani secara berhemah melalui saluran yang sah dan berwibawa, berlandaskan undang-undang serta peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak,” menurutnya.
Dalam pada itu, Raja-Raja Melayu turut menegaskan bahawa takhta ialah amanah besar yang membawa tanggungjawab terhadap negeri dan rakyat, justeru keharmonian masyarakat serta kemuliaan institusi diraja perlu terus dipelihara.
Semua pihak juga diingatkan supaya mengelakkan kenyataan yang boleh mengaibkan mana-mana pihak atau tindakan yang berpotensi memburukkan keadaan.
“Kenyataan-kenyataan yang bercanggah dan kurang bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat dan mencemarkan kemuliaan institusi diraja.
“Orang ramai turut diseru agar tidak menyebarkan khabar yang belum disahihkan serta tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” katanya.
“Berikan ruang dan masa kepada pihak berautoriti untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu berharap semua pihak mengutamakan kepentingan Negeri Sembilan dan kesejahteraan rakyat, selain memelihara adab, menghormati adat serta menjaga tutur kata sepanjang pertikaian itu diusahakan penyelesaiannya.
*Foto utama: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar