15 OKT : Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat melepaskan mana-mana daripada 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ruang rundingan yang dibuka dengan parti lain hanya melibatkan baki tujuh kerusi.
Kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, pendirian itu menjadi prinsip BN dalam menghadapi PRN Melaka.
“Prinsip kita 21 kerusi yang kita menang itu adalah kerusi yang kita tidak berhasrat untuk kongsikan.
“Jika mahu mengadakan perundingan pun, kita akan berunding atas tujuh lagi kerusi yang bukan dipunyai oleh BN,” katanya pada sidang media di Beijing, hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau menyerahkan kepada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk menentukan keputusan akhir berhubung bentuk kerjasama yang akan dimeterai selepas hari penamaan calon.
Pada PRN Melaka 2021, BN menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.
DUN Melaka dibubarkan pada 23 September lalu bagi membuka laluan kepada PRN berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai tarikh penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.