18 OKT : Usaha mendekati golongan muda oleh Barisan Nasional (BN) perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukan sekadar bermusim terutama apabila tiba pilihan raya
Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata usaha itu dilaksanakan menerusi pelbagai pendekatan termasuk sukan, pendidikan dan peluang pekerjaan.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan berkata, golongan muda khususnya pengundi kali pertama memerlukan maklumat dan fakta tepat bagi memahami prestasi pentadbiran negeri serta hala tuju pembangunan yang dirancang.
“Jadi menyantuni mereka ni tak boleh bermusim, kena sentiasa ada berhubung mereka di media sosial.
“Sebab bagi BN, pendidikan merupakan perkara yang paling utama, sebab bila dia berjaya sama ada di bidang akademik ataupun TVET, mereka mampu mengolah masa depan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Alor Gajah di Machap Umboo, Alor Gajah, hari ini.
Menurutnya, antara keperluan utama golongan muda di kawasan Asahan ialah peluang pekerjaan dan pemilikan rumah yang perlu diberikan perhatian dalam perancangan pembangunan negeri.
Katanya, usaha Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk membangunkan beberapa pusat industri baharu mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus membolehkan anak muda memperoleh pendapatan dan menyara keluarga.
“Untuk kerjaya, kita dah kata BN ini parti masa depan. Jadi gerak kerja Ketua Menteri untuk membina beberapa pusat industri yang baru, dia juga memberi peranan yang penting kepada mereka untuk memastikan mereka ada tempat bekerja.
“Apabila dah bekerja, mereka boleh ada kuasa beli dan boleh menyara keluarga,” katanya.
Dalam aspek perumahan, Fairul Nizam berkata sasaran kerajaan negeri untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Melaka memiliki rumah sendiri pada penggal akan datang turut menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian.
Beliau berkata, pembangunan perumahan di Asahan mempunyai kekangan tertentu berikutan kawasan tadahan, justeru rumah mampu milik di sekitar Machap Jaya dan Durian Tunggal boleh membantu memenuhi keperluan penduduk kawasan berkenaan.
Mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau yang kini menguruskan jentera BN bagi DUN Asahan berkata, persiapan jentera di kawasan itu berjalan baik dengan sokongan parti komponen.
Katanya, jentera kini memberi tumpuan kepada penyusunan gerak kerja sebelum tempoh rasmi berkempen bermula, selain berusaha mengembalikan kemenangan BN di lima kerusi DUN dalam Parlimen Alor Gajah seperti pada PRN 2021.
Beliau turut mengingatkan jentera supaya meneruskan pendekatan politik kasih sayang dengan mendekati pengundi dan mengelakkan kempen yang boleh memudaratkan parti termasuk fitnah.
