23 OKT : Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengarahkan pasukan peguamnya memulakan proses saman terhadap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan susulan dakwaan berunsur fitnah yang dibuat dalam sidang media, semalam.
Rafizi berkata, selepas meneliti kenyataan Ramanan dalam sidang media itu, beliau sudah menyerahkan rakaman video serta transkrip kepada pasukan peguam untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, terdapat asas kukuh untuk memulakan tindakan undang-undang berikutan beberapa tohmahan terhadap dirinya, termasuk tuduhan terbabit dalam rasuah.
“Saya telah berbincang dengan pasukan peguam saya dan mereka berpendapat ada asas kukuh untuk memulakan tindakan saman terhadap R Ramanan kerana kenyataan-kenyataan dalam sidang media itu telah melanggar garis-garis yang ditetapkan oleh undang-undang fitnah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Rafizi turut mendakwa, sidang media Ramanan mengesahkan beliau tidak pernah mengambil tindakan mahkamah berhubung kenyataannya sebelum ini yang mengaitkan menteri tersebut dengan dakwaan menerima suapan RM9.5 juta bagi menyelesaikan kes mafia korporat.
Beliau berkata, Ramanan juga mengulangi pendirian tidak akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan berkenaan.
Perkembangan itu, menurut Rafizi, bercanggah dengan kenyataan Ramanan sebelum ini yang bertegas akan menyaman pihak mengaitkannya dengan mafia korporat dan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen minggu ini yang mendakwa tindakan mahkamah sudah diambil.
“Saya serahkan kepada ahli-ahli Parlimen untuk mengambil tindakan seterusnya, iaitu merujuk Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk diambil tindakan kerana membuat kenyataan yang tidak benar di Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi mendakwa Ramanan masih mengelak daripada menjawab beberapa tuduhan berkaitan dirinya dan isu rasuah.
Beliau berkata, sekiranya Ramanan tidak mengambil tindakan saman terhadapnya susulan kenyataan yang dibuat semalam, keadaan itu membuka ruang untuk beliau membawa Ramanan ke mahkamah berhubung tohmahan terhadap dirinya.
Semalam, Ramanan yang juga Naib Presiden PKR ketika sidang media sempena Majlis Apresiasi Perkhidmatan Warga Kementerian Sumber Manusia menyifatkan Rafizi sebagai ‘pembohong bersiri’ kerana sering mengeluarkan kenyataan tidak benar dan memutar belitkan keadaan.
Ramanan berkata, sudah banyak kali bekas Timbalan Presiden PKR itu mengeluarkan kenyataan yang tidak benar dan kemudian memohon maaf.
Malah, Ramanan berkata, apa yang paling menjengkelkannya adalah apabila Rafizi kalah saman di mahkamah, beliau akan membuat kutipan awam meminta wang daripada rakyat.
Ramanan turut mendesak Rafizi menjawab skandal membabitkan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad khususnya berhubung isu penyalahgunaan kuasa membabitkan Yayasan Hijau Malaysia.