23 OKT : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh diyakini mampu memimpin jentera parti itu meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan keyakinan itu sambil menyifatkan Ab Rauf sebagai poster boy UMNO-BN malah memberi bayangan beliau kekal sebagai Ketua Menteri kelak.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, Melaka bertuah memiliki seorang Ketua Menteri yang komited berkhidmat demi kepentingan parti dan negeri.
“Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau. Inilah dia Datuk Rauf. Insya-Allah Datuk Rauf.
“Walaupun kita beli barangan, barang-barang order online insya-Allah itu barang yang kita order barang itulah juga yang Melaka akan dapat. Nak pilih siapa lagi? Datuk Rauf!,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Peringkat Parlimen Jasin yang dihadiri kira-kira 2,000 jentera parti, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengajak seluruh jentera BN memberikan sokongan padu kepada Ab Rauf dan melipatgandakan usaha bagi memastikan parti itu memperoleh keputusan terbaik pada PRN Melaka.
Katanya, potensi kepimpinan Ab Rauf sudah dilihat sejak Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka itu menggalas jawatan Setiausaha Kerja UMNO.
Selain itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyentuh keperluan BN memperbaiki kelemahan dalaman dan memperkukuh jentera bagi memastikan kesilapan lalu tidak berulang lagi.
Beliau juga mengingatkan kekalahan BN pada pilihan raya lalu berpunca daripada kelemahan dalaman parti, bukannya kelebihan pihak lawan.
“Kekalahan kita di kerusi-kerusi yang terdahulu, bukan kerana musuh politik kita kuat, tetapi kerana kita lemah.
“Pengalaman kekalahan sebelum ini perlu dijadikan pengajaran supaya kesilapan sama tidak berulang,” katanya.
Menyentuh soal kerjasama dengan rakan strategik, PAS pada PRN kali ini, Ahmad Zahid menyeru semua jentera bekerjasama dengan sebaiknya demi kemenangan bersama.
Beliau juga berkata sengketa dan perselisihan lalu perlu dilupakan dan menyambut salam penyatuan itu.
“Kita ‘forgive and forget’, kita lupakan yang lama, kita rangkul yang baharu supaya penyatuan ummah ini dapat kita lakukan, insya-Allah,” katanya.
