26 OKT : Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr Akmal Saleh, sedia memberi laluan kepada calon lain untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau tidak mahu kes mahkamah yang dihadapinya menjadi beban kepada parti atau menjejaskan peluang BN memenangi PRN ke-16 itu.
Katanya, kesediaan itu sudah dinyatakan secara terbuka kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, kepentingan parti perlu diutamakan berbanding hasrat peribadinya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
“Jika kes ini menjadi sesuatu yang boleh mencemarkan nama parti, saya sudah berterus terang kepada Presiden UMNO bahawa saya sanggup tidak bertanding jika dianggap beban kepada peluang parti untuk menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini.
Mahkamah hari ini dimaklumkan representasi Dr Akmal bagi menggugurkan kes berkenaan ditolak pihak pendakwaan.
Pada 22 Ogos tahun lalu, Akmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat kenyataan di Facebook yang didakwa menyebabkan ketakutan awam berkait Jalur Gemilang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Akmal berkata, apa sahaja boleh berlaku dan keputusan muktamad hanya akan diketahui pada hari penamaan calon, 31 Oktober ini.
“Parti memberikan kepercayaan kepada saya untuk mempertahankan N27 (DUN Merlimau). Bagaimanapun, selagi hari penamaan calon belum tiba, apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Jika ada individu lain yang lebih baik dan mampu memberikan kemenangan kepada parti, saya sanggup tidak bertanding.
“Bagi saya, pilihan raya ini bukan mengenai Akmal Saleh tetapi bagaimana kita memperoleh kemenangan dan bagaimana kita berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Meski kes itu masih belum ada jalan penyelesaian selepas setahun, namun Akmal menegaskan ia tidak mengganggu persiapannya menghadapi PRN.