27 OKT: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menganggap isu dengan parti MCA berhubung kerusi calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sudah selesai selepas perbincangan, semalam.
“Bagi saya, ianya sudah selesai…baik, bagus. Kita sudah leraikan kebuntuan itu. Bagi saya (keputusan) sudah positif. Kita tunggu MCA sendiri akan keluarkan kenyataan,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Masjid Tanah di Tanjung Bidara, malam ini.
Majlis disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan dihadiri ribuan jentera parti mewakili lima kawasan Dewan Undangan Negeri di dalam Parlimen Masjid Tanah.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, kini cuma tinggal perbincangan di peringkat tertinggi BN.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam maklum balasnya terhadap kenyataan Ahmad Zahid bahawa rundingan BN-MCA selesai dengan positif, mendakwa parti itu belum mencapai matlamat tersebut.
Menurut Ka Siong, kedua-dua pihak perlu meneruskan perbincangan dan berharap satu titik penyelesaian dicapai dalam satu atau dua hari ini.
Mengulas mengenai kira-kira 100 ahli PKR yang menyertai BN pada majlis tersebut, Ab Rauf menjelaskan, beliau secara terbuka menerima penyertaan ahli-ahli parti itu.
“…(Sebenarnya) Acara tadi tidak ada dalam jadual. Saya terima sikap mereka yang sedar bahawa BN adalah satu perjuangan nyata dan perlu diberi sokongan.
“Saya sangat terharu dengan keprihatinan mereka untuk kembali kepada UMNO dan BN,” ujarnya.

Foto HEIKAL ROSLI