30 OKT : Sistem paparan diod pemancar cahaya (LED) milik Majlis Perbandaran Kluang (MPK) digodam dalam satu insiden pencerobohan siber, semalam.
Insiden itu menyebabkan gambar dan video lucah dipapar pada beberapa skrin di kawasan tersebut.
Kejadian itu kemudiannya tular di media sosial termasuk yang menggesa MPK mengambil perhatian terhadap perkara itu.
MPK dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kerjasama pihak vendor bagi mengenal pasti punca kejadian.
“MPK ingin memaklumkan bahawa sistem paparan LED milik MPK telah mengalami insiden pencerobohan siber (penggodaman).
“Sehubungan dengan itu, siasatan lanjut sedang dilaksanakan dengan kerjasama pihak vendor bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengambil langkah pemulihan dan memperkukuh tahap keselamatan sistem.
“MPK memohon maaf atas segala kesulitan dan kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat Kluang susulan insiden ini,” menurut kenyataan yang disiarkan, malam tadi.
MPK berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.
“MPK memandang serius dan mengutuk sekeras-kerasnya kejadian tersebut serta akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan dan memburukkan nama baik dan imej MPK,” menurut MPK.