30 OKT : Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Pertambahan tiga kerusi itu membabitkan dua calon Amanah dan seorang calon PKR.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan politik semasa serta kemampuan gabungan itu menyediakan calon berpotensi di kawasan terbabit.
Menurutnya, penilaian turut meliputi kekuatan jentera parti, keupayaan calon dan penerimaan penduduk setempat sebelum keputusan itu dimuktamadkan.
“Pada peringkat awal, kita menetapkan bertanding 21 kerusi, tetapi melihat perkembangan politik semasa dan ada parti politik yang tidak mengisi keperluan itu, kita melihat kita mempunyai kemampuan untuk bertanding dengan calon yang sudah disediakan.
“Kita akhirnya mengambil keputusan untuk bertanding 24 kerusi di peringkat DUN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Hi-Tea PH bersama Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika), hari ini.
Tiga calon tambahan PH ialah Aminuddin Abdul Jalil di DUN Sungai Rambai, Junainah Sahat di DUN Taboh Naning dan Jaimi Dimon di DUN Ayer Limau.
Dalam pada itu, beliau berkata PH menyasarkan kemenangan di 18 daripada 24 kerusi DUN terutama mempertahankan kerusi dimenangi pada PRN lalu.
“Daripada awal sasaran kita ialah 18 kerusi DUN dan kita tahu bahawa kita ada kemampuan di 18 kerusi dengan berusaha untuk mengekalkan lima kerusi yang kita sudah ada,” katanya.
Menyentuh kemungkinan pertembungan dengan Bersatu, beliau berkata, PH tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai fokus utama, sebaliknya memberi perhatian kepada pengukuhan kekuatan dalaman gabungan berkenaan.
DAP yang juga parti komponen PH bertanding di tujuh kerusi.