31 OKT : “Sebelum pilihan raya pun mereka serang saya,” kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pelbagai propaganda yang dilemparkan pihak lawan terhadapnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Akmal akui tidak mengambil pusing soal serangan dan dakwaan-dakwaan yang timbul kerana yakin rakyat mampu menilai setiap perkara sebelum membuat keputusan pada hari pengundian nanti.
“Sebelum pilihan raya pun mereka serang saya. Saya okey saja tak ada masalah. Sebab dia begini, lagi kuat propaganda yang ini (dikeluarkan), rakyat tak bodoh, rakyat boleh menilai dengan baik.
“ Apa pun yang nak dibuat, penganalisis ke, macam-macamlah yang dikeluarkan, poster ke, bagi saya rakyat pandai menilai dan insya-Allah rakyat akan zahirkan dalam kertas undi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui usai proses penamaan calon di DUN Merlimau, hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan kenyataan seorang pemerhati pilihan raya yang mendakwa Ketua Pemuda UMNO itu berdepan risiko kehilangan kerusi Merlimau jika terus bergantung kepada politik kaum dan agama.
Dalam pada itu, Akmal mengakui mempunyai banyak kesilapan dan kelemahan sepanjang tempoh berkhidmat selama 4 tahun 11 bulan di kawasan tersebut, namun perkara itu tidak mematahkan usahanya untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat.
Katanya, beliau tidak meletakkan sasaran untuk menang dengan majoriti besar, sebaliknya lebih mengutamakan kepercayaan pengundi terhadap khidmat yang diberikan.
“Saya cakap jujurlah, saya hanya nakkan kepercayaan orang ramai. Kalau kepercayaan orang itu beri kepada saya menang majoriti besar atau tidak, itu doesn’t matter. Bagi saya apa yang lebih penting adalah untuk amanah itu mesti dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua jentera parti supaya menjalankan kempen secara matang dan berhemah tanpa mencetuskan provokasi, fitnah atau kata-kata buruk terhadap pihak lawan.
“Nasihat saya kepada semua jentera baik daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Bersatu ke…apa saya minta agar kita boleh jalankan pemilihan kita, pilihan raya kita ini dalam keadaan yang matang, jangan menimbulkan provokasi.
“Kerana apa sekalipun, kita semuanya tetap orang Melaka. Jadi saya rasa insya-Allah orang Melaka ini semua baik-baik belaka. Insya-Allah tidak akan ada apa-apa provokasi yang melampau insya-Allah,” katanya.
Usai proses penamaan calon pagi tadi menandakan bermulanya kempen selama 14 hari bagi kesemua 79 calon untuk merebut 28 kersui DUN sebelum rakyat Melaka memilih pada 14 November ini.
