11 NOV : Melaka menjadi negeri pertama melaksanakan inisiatif pendidikan awal kanak-kanak autisme oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), sebelum program itu diperluaskan ke 132 tabika dan tadika di seluruh negara mulai 1 Januari 2027.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan inisiatif itu merupakan satu pembaharuan besar KEMAS dalam membuka lebih banyak peluang pendidikan awal kepada kanak-kanak autisme.
Beliau yang juga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, kejayaan memulakan program berkenaan di Melaka membuktikan keupayaan KEMAS memperluaskan peranan dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan yang memenuhi keperluan golongan berkenaan.
“Ini satu game changer yang telah kita buat di KEMAS bermula di Melaka ini iaitu tabika dan tadika autisme tersebut.
“Mulai 1 Januari 2027 akan terdapat 132 tabika dan tadika autisme di seluruh negara yang dimulakan di negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Kakitangan KEMAS Bersama Kepimpinan Tertinggi di Pantai Puteri pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Datuk Abdul Kahar Abdullah dan Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kestabilan politik di Melaka turut membantu memastikan perancangan serta pelaksanaan inisiatif baharu dapat berjalan lancar sebelum diperluaskan ke seluruh negara.