11 NOV : Kadar keluar mengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang mencecah 95 peratus semalam disifatkan sebagai satu perkembangan yang amat baik.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berharap semangat sama dapat diteruskan pada hari pengundian Sabtu ini dengan lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat masing-masing.
“Amat baik (peratusan keluar mengundi). Itulah juga saya harap pengundi-pengundi yang akan mengundi pada 14 hari bulan ni dapat keluarlah beramai-ramai macam mana yang ditunjukkan oleh pengundi-pengundi awal, semalam.
“Terlalu tinggi dan terlalu membanggakan. Keputusan kita tak tahu. Kita harap mereka ‘pen merah pen biru lah. Undi biru I love you’,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau sebelum melanjutkan lawatannya ke DUN Lendu, pagi tadi.
Menurut Ab Rauf, kesiapsiagaan jentera serta pengundi di kedua-dua DUN kini berada pada tahap cukup baik menjelang, Sabtu ini.
Malah, beliau melihat semangat pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab pada 14 November ini juga semakin positif.
Semalam, sebanyak 9,417 pengundi awal atau 94.96 peratus keluar mengundi yang terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan mereka.
Dalam perkembangan lain, mengulas kenyataan Pakatan Harapan (PH) yang berharap agar peningkatan pelaburan di Melaka dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan, Ab Rauf berkata, kemasukan pelabur perlu disusuli penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Pastinya orang datang melabur dia bukan melabur campak duit bawa bangunan dalam itu mesti ada orang bekerja.
“Pastinya pelaburan itu mencerminkan peluang pekerjaan dan tenaga kerja yang bakal dibekalkan oleh kerajaan negeri dan menghidangkan kepada rakyat untuk dapat pekerja,” katanya.