13 NOV : Lawan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Melaka yang semakin buntu dan terdesak untuk menang dilihat cuba melaga-lagakan tiga pemimpin utama kononnya berebut jawatan Ketua Menteri.
Sudah beberapa kali video janaan AI karakter Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh, Datuk Dr Akmal Saleh dan Datuk Noor Helmy Abdul Halem di media sosial ‘bertelagah’ mendakwa masing-masing lebih layak memegang jawatan itu.
Jelas, pihak lawan menyedari mereka ketandusan isu untuk berkempen menyaingi calon-calon BN dan juga Perikatan Nasional (PN).
Mungkin pilihan terakhir adalah cuba melaga-lagakan ketiga-tiga calon BN itu berebut jawatan Ketua Menteri sedangkan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah mengesahkan Ab Rauf akan kekal sebagai Ketua Menteri sebaik BN menang di Melaka.
Usaha lawan ini barangkali kerana Ab Rauf, Akmal dan Noor Helmy adalah pemimpin dianggap cukup popular kepada rakyat Melaka dan mereka adalah sasaran yang mesti dikalahkan.
Barangkali jika gagal merampas Melaka, mengaibkan ketiga-tiga mereka adalah cara terbaik ibarat pepatah, tidak dapat tanduk, telinga dipulas.
Menewaskan mereka, mungkin sama seperti berjaya menawan Melaka.
Walaupun Ab Rauf hanya menang majoriti 364 undi di Tanjung Bidara, Akmal di Merlimau (3,248) dan Noor Helmy di Duyong dengan majoriti 200 undi, namun pada pilihan raya kali ini majoriti mereka dijangka akan meningkat ketara.
Rekod pentadbiran Ab Rauf sebagai Ketua Menteri yang membawa pelbagai perubahan disektor ekonomi, pembangunan rakyat dan insan tentu sukar dinafikan.
Manakala Akmal dan Noor Helmy melayan rakyat Melaka khususnya di Kawasan masing-masing cukup baik tanpa mengira kaum.
Menyelusuri kempen lawan, walaupun tokoh-tokoh utama parti turun membantu calon masing-masing tetapi tiada isu yang dapat menganggu gugat kewibawaan calon-calon BN di Melaka.
Ceramah mereka masih berkisar soal sakau, ditambah isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak yang dianggap cukup tidak relevan pada pilihan raya di Melaka ini.
Sebaliknya seperti kata Ab Rauf, kecelaruan politik semasa terutama penentangan terhadap titah Yang di- Pertuan Agong berhubung pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri itu, hanya akan memakan diri parti lain.
Berdasarkan itu juga, Pengerusi BN Melaka itu yakin, BN dan PN akan menguasai 26 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebaik keputusan pengundian esok diumumkan.
Ini bermakna parti lawan utama PH yang sebelum ini mempunyai lima kerusi DUN, dijangka akan hanya tinggal dua sahaja.
Lima kerusi itu adalah Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana dan Banda Hilir.
Namun berdasarkan tinjauan semasa, PH hanya mampu mempertahankan tiga kerusi iaitu Kesidang, Kota Laksamana dan Banda Hilir.
Orang Melaka tentunya tidak mahu orang luar datang memburukkan pemimpin mereka, melempar tohmah dan adu dumba, apa lagi dengan menghambur janji selain ada yang menagih undi tetapi mereka adalah calon luar yang tidak boleh mengundi untuk diri sendiri.
Tepuk amai-amai,
Belalang kupu-kupu,
Orang Melaka keluar beramai,
Jangan lupa pangkah biru.