Anwar puji Macron berani pertahan Palestin
17 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendirian Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam isu Gaza dan Palestin sebagai suara hati nurani yang berani berdepan arus politik toksik serta hipokrasi masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia menghargai ketegasan Paris yang konsisten mengutamakan nilai kemanusiaan ketika isu hak asasi manusia dan keadilan sering dijadikan perkara terpilih oleh pihak tertentu.
“Saya nyatakan dengan sangat jelas betapa kami menghargai pendirian yang diambil Perancis, khususnya dalam isu Gaza dan Palestin.
“Ia adalah suara hati nurani dan keprihatinan kemanusiaan yang sebahagian besarnya diabaikan oleh begitu banyak pendirian politik yang toksik.
“Kadangkala dalam bahasa yang keras, wujud banyak hipokrasi apabila bercakap soal hak asasi manusia dan keadilan yang perlu kita tangani,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad sempena lawatan rasmi pemimpin Perancis itu, hari ini.
Macron dalam kenyataan balasnya turut menghargai komitmen Malaysia dan menegaskan kedua-dua negara tidak mengamalkan dwistandard dalam mempertahankan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kedaulatan Palestin dan Ukraine serta hak setiap rakyat untuk hidup aman dan menikmati integriti wilayah masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, Perancis menyatakan kesediaan menjadi rakan kongsi dipercayai Malaysia dalam pembangunan tenaga nuklear awam bagi menyokong agenda penyahkarbonan negara.
Macron berkata, tawaran itu turut merangkumi kerjasama dalam sektor tenaga, selain pemuktamadan pelan hala tuju baharu industri pertahanan dua hala.
Menurutnya, komitmen berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara selepas bersetuju menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik, menjelang ulang tahun ke-70 hubungan Malaysia-Perancis tahun depan.
Dalam sektor pertahanan dan keselamatan, beliau memaklumkan kedua-dua negara telah menandatangani perjanjian penting membabitkan perolehan helikopter Airbus Caracal sebagai langkah awal pelaksanaan pelan hala tuju industri pertahanan.
Kedua-dua pihak juga meneruskan perbincangan mengenai aset kapal selam bagi memperluas kerjasama dalam bidang berkenaan.
Selain itu, Malaysia dan Perancis bersetuju menubuhkan Pusat Kecemerlangan Malaysia-Perancis bagi menangani ancaman hibrid menerusi latihan kepada pegawai awam serta anggota tentera kedua-dua negara.
“Pertahanan dan keselamatan menjadi salah satu tunjang kedaulatan kedua-dua negara dan kini kita mempunyai pelan hala tuju bagi industri pertahanan kita. Kita telah menandatangani perjanjian penting berkaitan helikopter Caracal oleh Airbus dan turut mengadakan perbincangan yang sangat baik mengenai kapal selam,” katanya.
Sementara itu, dalam sektor peralihan tenaga, Macron menegaskan Perancis bersedia berkongsi kepakaran dalam pembangunan tenaga nuklear awam serta gas asli cecair (LNG).
Kerjasama itu akan turut diperkukuh menerusi hubungan berterusan antara syarikat tenaga Perancis, TotalEnergies dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Terdahulu, Macron diberi sambutan rasmi negara di Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) sempena lawatannya ke negara ini.
