18 NOV : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk menghadap berkait isu pelantikan Menteri Besar negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau percaya warkah yang mengandungi nama calon bagi mengisi jawatan berkenaan sudah diutuskan kepada pihak istana.
“Warkah telah diutus, jadi setakat ini saya belum dititah untuk menghadap dan kami mempunyai kepercayaan kepada kepimpinan negeri untuk sembah maklum warkah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan antara Timbalan Perdana Menteri dengan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) ke-62 di Kota Tinggi, hari ini.
Mengulas pertemuan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dengan Tuanku Muhriz petang semalam, Ahmad Zahid berkata, beliau menyerahkan kepada pihak istana untuk memaklumkan hasil perbincangan tersebut.
“Tahu, tahu (hasil pertemuan), tetapi biar diumumkan oleh istana sendiri dan juga oleh Datuk Ismail Lasim sendiri.
“Jadi, saya merasakan bahawa ada sesuatu yang telah diputuskan bersama oleh Tuanku dan juga Datuk Ismail,” katanya.
Beliau turut mengulang bahawa BN hanya mengemukakan satu nama untuk dipertimbangkan bagi jawatan Menteri Besar yang baharu itu tanpa mendedahkan identiti calon tersebut.
“Satu saja calon tetapi biar istana yang umumkan,” katanya.
Pada Ahad, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan Ahmad Zahid sudah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail bertarikh 16 November 2026 yang dihantar kepada Tuanku Muhriz.
Susulan itu, Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan memaklumkan pihak istana masih belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail meskipun salinan dokumen berkenaan telah dikemukakan.
Petang semalam, Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Ismail Lasim lebih sejam namun hasil pertemuan tidak didedahkan setakat ini.