20 NOV : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan tujuh anggotanya, termasuk lima pegawai, ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan 96.6 kilogram dadah di Pangkalan Udara Subang, 17 November lalu.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, penemuan bahan disyaki dadah itu dikesan hasil pemeriksaan awal petugas TUDM di Bangunan Pergerakan Udara (AMS) pangkalan berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati bagasi-bagasi berkenaan dalam keadaan mencurigakan tidak mempunyai pelekat pengesahan pemeriksaan keselamatan yang menunjukkan bahawa bagasi berkenaan telah menjalani pemeriksaan keselamatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut oleh anggota keselamatan daripada Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU) menggunakan mesin pengimbas telah mengesan beberapa bungkusan mencurigakan yang disusun dengan kemas di dalam bagasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, susulan penemuan itu, TUDM mengambil tindakan awal dengan menahan individu yang disyaki terlibat sebelum melaporkan kejadian kepada polis.
“Setakat ini lima pegawai dan dua anggota TUDM telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini,” katanya.
Malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan telah membongkar sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan TUDM dan lima pegawai ditahan.
Dalam pada itu, Norazlan berkata individu yang disyaki terlibat turut diserahkan kepada JSJN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menegaskan TUDM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku atau penglibatan warga TUDM dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah, khususnya yang melibatkan penggunaan pesawat serta aset ketenteraan, tanpa mengira pangkat serta jawatan.
“Ketegasan dan tindakan proaktif TUDM dalam mengesan, membuat tangkapan awal, melaporkan serta menyerahkan individu yang disyaki terlibat kepada pihak berkuasa membuktikan komitmen TUDM untuk membanteras kegiatan seumpama ini daripada terus berleluasa.
“TUDM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah,” katanya.
*Foto : Facebook TUDM