21 NOV : Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong memohon maaf secara terbuka susulan hantaran mengkritik arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu setiap Jumaat yang mencetuskan kontroversi.
Dalam kenyataan terbaharu di Facebook, beliau mengakui kelemahan dalam penyampaian pandangan menerusi hantaran berkenaan, terutama pemilihan kata-kata dan nada yang menimbulkan salah faham serta menyinggung perasaan masyarakat, khususnya umat Islam.
Beliau turut menjelaskan tidak pernah berniat mempertikaikan atau memperkecilkan kepentingan solat Jumaat mahupun hak umat Islam menunaikan tuntutan agama.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya amat menghormati agama Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikan tuntutan agama mereka.
“Saya sama sekali tidak berniat untuk mempertikaikan atau memperkecilkan kepentingan ibadah tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka ditegur rakan partinya, Young Syefura Othman dan pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim.
Adam Adli menasihati Poay Tiong agar menghormati kedaulatan undang-undang negeri lain dan sensitiviti beragama di negara ini.
Dalam pada itu, Poay Tiong berkata, sebagai wakil rakyat dan pemimpin, beliau sepatutnya lebih berhati-hati, bertanggungjawab serta sensitif ketika menyampaikan pandangan terutama apabila menyentuh isu agama dan sensitiviti masyarakat majmuk.
“Saya menerima teguran dan kritikan yang telah diberikan dengan hati terbuka. Saya juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan dalam penyampaian tersebut,” katanya.
Beliau sekali lagi menyampaikan permohonan maaf kepada semua pihak yang tersinggung atau terluka dengan hantaran berkenaan, sambil berjanji mengambil iktibar dan lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan pada masa hadapan.
“Saya memohon maaf dengan penuh keikhlasan,” katanya.
Semalam, Poay Tiong mempersoalkan kesan pelaksanaan arahan berkenaan yang didakwa boleh menjejaskan kebebasan berniaga serta gaya hidup masyarakat bukan Islam.
Namun hantarannya di Facebook itu menerima kritikan warga maya sebelum beliau turunkan.