21 NOV : Dua pekerja maut selepas disedut pusaran air kuat dan terperangkap di dalam lubang saluran limpahan (overflow chamber) ketika melakukan kerja penyelenggaraan kolam takungan air hujan di Bukit Tagar, Rabu lalu.
Kejadian kira-kira jam 11 pagi pada 18 November itu berlaku ketika kedua-dua pekerja lelaki warga tempatan berusia 27 dan 30 tahun sedang membersihkan sisa sampah yang menyumbat saluran berkenaan.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, pusaran air kuat terhasil sebaik laluan air dibuka sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa disedut masuk ke dalam lubang berkenaan.
“Keadaan ini menyebabkan dua mangsa disedut dan terperangkap di lubang overflow chamber akibat tekanan arus sehingga mengakibatkan kedua-dua mangsa lemas, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan tanpa kecederaan,” menurut kenyataan itu.
Susulan insiden berkenaan, JKKP Selangor mengeluarkan Notis Larangan terhadap aktiviti pembersihan overflow chamber yang tersumbat serta Notis Pembaikan kepada majikan berikutan kegagalan menyediakan pentaksiran risiko bagi kerja berkenaan.
Jabatan itu turut memanggil pihak majikan dan saksi kejadian untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
Majikan juga diarahkan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengemukakan cadangan penambahbaikan dan langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Mengulas aspek keselamatan pekerjaan, JKKP Selangor menegaskan majikan bertanggungjawab memastikan setiap bahaya dikenal pasti dan risiko dinilai sebelum sesuatu kerja dimulakan.
“Majikan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengenal pasti bahaya di tempat kerja bawah kawalannya, menjalankan pentaksiran risiko dan melaksanakan langkah kawalan yang sewajarnya sebelum kerja dimulakan,” menurut kenyataan itu.
Jabatan berkenaan turut mengingatkan bahawa kemalangan seumpama itu boleh dielakkan sekiranya majikan dan pekerja mematuhi prosedur keselamatan serta melaksanakan kawalan risiko secara berterusan.
*Gambar janaan AI