21 NOV : “Kita tak payah campur, itu hak mutlak yang perlu dikendalikan di peringkat negeri.”
Itu pendirian Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung kemelut politik di Negeri Sembilan yang menurutnya perlu diselesaikan oleh pihak negeri sendiri tanpa campur tangan pihak luar.
Malah beliau menyifatkan kemelut itu sudah berlarutan terlalu lalu.
“…Kita tak payah campur, itu hak mutlak yang perlu dikendalikan di peringkat negeri. Saya sebagai Naib Presiden UMNO, tidak mahu mengeruhkan suasana.
“Benda ini sudah terlampau lama dan saya fikir pihak yang boleh menyelesaikan masalah ini ialah Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program TNB Santuni Komuniti Titiwangsa di Flat PKNS, Jalan Tun Razak, hari ini.
Beliau melahirkan keyakinan, pihak Istana Negeri Sembilan mempunyai perancangan tersendiri untuk mencari penyelesaian terbaik terhadap krisis berkenaan.
“Saya rasa ini sudah sampai peringkat istana, saya ingat elok saya tak payah komen. Tetapi saya percaya pihak Istana Negeri Sembilan akan menyusun strategi,” katanya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu mengulas peranan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam mendepani kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan.
Pada Isnin, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menerima salinan surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bertarikh 16 November 2026 yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Susulan itu, Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan memaklumkan pihak istana masih belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail meskipun salinan dokumen berkenaan telah dikemukakan.
Kenyataan itu menyebut selaras Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Susulan itu, Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Ismail sebanyak dua kali dan semalam, Ismail memaklumkan beliau tidak pernah meletakkan jawatan dan akan meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.
Menurut kenyataan dikeluarkan istana susulan pertemuan itu, Ismail perlu menunjukkan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mengemukakan senarai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan Tuanku muhriz.
Malam tadi, 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh terhadap sebarang arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti dalam perjumpaan khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan.