10 JAN: Kementerian Pendidikan telah membuat keputusan yang tepat berhubung tarikh pembukaan sekolah sesi 2021 dalam situasi COVID-19 dan banjir ketika ini.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan berkata, kementerian itu mempunyai data dan statistik yang diperlukan untuk membuat keputusan.
“Isu banjir ini tiada masalah kerana dari dahulu lagi, pihak KPM sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa dipantau oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah seliaan mereka akan dibuka di seluruh negara mengikut takwim 2021 termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Pendidkan, Dr Radzi Jidin berkata, operasi kesemua institusi pendidikan adalah tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu.
Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesyorkan agar pemulaan sesi persekolahan 2021 ditangguhkan selepas cuti Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata, penangguhan itu perlu diambil kira memandangkan situasi negara yang berdepan dengan keadaan banjir selain kes penularan COVID-19 yang semakin tinggi.
Sementara itu, Naib Presiden MIC, Datuk C Sivaraajh juga turut meminta KPM menimbang semula tarikh pembukaan sekolah yang dijadualkan bermula 20 Januari ini ekoran peningkatan kes jangkitan COVID-19 sejak akhir ini.
Dalam pada itu, Harry memberitahu guru-guru di seluruh negara sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas hakiki mereka sama seperti penjawat awam lain.
“Untuk makluman, sekolah-sekolah sedang rancak untuk menghadapi sesi persekolahan yang baharu seperti merangka jadual waktu, jadual aktiviti, persediaan buku teks, membuat rancangan mengajar tahunan dan harian.
“Ini juga termasuk apa-apa sahaja yang berkaitan supaya sekolah boleh berfungsi pada hari pertama tanpa apa-apa masalah besar,” katanya.