15 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan sebanyak 3,211 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di negara ini sebanyak 151,066, manakala kes aktif kebolehjangkitan pula adalah sebanyak 35,253 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,206 kes.
“Bagi kes penularan di dalam negara, 2,045 kes adalah warganegara Malaysia manakala 1,161 kes adalah bukan warganegara.
“Dalam kes harian terbaharu, Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 889 kes (27.7 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 658 kes (74.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 535 kes (16.7 peratus) dan Sabah sebanyak 514 kes (16.0 peratus).
“Sebanyak 12 kes (0.4 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Kemus (6 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (2 kes), Kluster Matambai (2 kes), Kluster Telok Mas (1 kes), dan Kluster Penjara Jalan Harapan (1 kes),” ujarnya menerusi kenyataan media harian Covid-19 hari ini.
Sementara itu, Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh Covid-19 hari adalah sebanyak 1,939 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 115,227 kes (76.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
“Sehingga kini, terdapat 204 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 87 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“KKM juga dengan dukacita memaklumkan terdapat pertambahan lapan kes kematian COVID-19 pada hari ini melibatkan dua kes di Sabah, empat kes di Selangor, satu kes di Kedah dan Johor, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 586 kes (0.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),”ujarnya.