25 JULAI: Hampir 500 individu dan 50 premis didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 482 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP, dengan 457 individu dikompaun, manakala 11 lagi direman dan 14 dijamin.
Katanya, hasil pemantauan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan sebanyak 49 premis merangkumi kilang, perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup semalam.
“Kerajaan mempertingkat penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak perlanggaran arahan kerajaan dan SOP yang diwartakan.
“Semalam, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan melaksanakan 82,249 pemeriksaan dan ‘snap check’, termasuk pemeriksaan ke atas 1,300 kilang, 14,025 premis perniagaan, 360 tapak pembinaan dan 173 asrama pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemantauan itu membabitkan 82,249 pemeriksaan dan ‘snap check’ COVID-19 di seluruh negara oleh 18,934 anggota.
Ismail Sabri mengingatkan agar orang ramai diingatkan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.