8 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kabinet, mengucapkan tahniah dan syabas kepada jaguh berbasikal negara kerana menghadiahkan pingat perak kepada Malaysia menerusi acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.
Perdana Menteri berkata kejayaan berkenaan menambah keceriaan kontinjen Malaysia sebelum ini memenangi pingat gangsa dalam acara beregu badminton lelaki.
“Syabas “The Pocket Rocketman”. Tahniah buat jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara Keirin basikal trek, Sukan Olimpik Tokyo, sebentar tadi.
“Kejayaan ini tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya.
“Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan,” kata Muhyiddin dalam hantaran menerusi Facebooknya
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan oleh Azizulhasni di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini.
“Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara. Syabas juga kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Datuk Seri Reezal Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan ini.
Sementara itu, Timbalan Perdaa Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengucapkan tahniah kerana mengharumkan nama Malaysia kerana menang perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“TAHNIAH kepada Jijoe “The Pocket Rocketman” kerana berjaya mendapat pingat untuk negara. Terima kasih Datuk Azizulhasni Awang mengharumkan nama Malaysia dengan pencapaian anda pagi ini. Saya dan rakyat Malaysia amat berbangga dengan kejayaan ini. Demi Malaysia, syabas!,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pula mengucapan terima kasih kepada Azizulhasni kerana menyumbangkan pingat perak.
“Kepada Jijoe Azizulhasni Awang, tahniah dan terima kasih atas sumbangan pingat perak buat Malaysia! You have done your very best dan kami di sini amat berbangga dengan kesungguhan dan pencapaian Team Berbasikal #MAS.
“Khas buat M.Shah Firdaus, terima kasih atas segala usaha anda. Focus on your recovery dan InsyaAllah, akan ada kilauan pingat untuk Malaysia dari anda di masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, pula berharap Azizulhasni dapat selamat pulang ke tanahair dengan selamat untuk bercuti bersama keluarganya.
“Terima kasih Jijoe! Saya harap Jijoe pulang ke tanah air dengan selamat dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Tahniah juga kepada Jijoe sekeluarga yang akan menantikan seorang lagi cahaya mata,” katanya.