16 OKT: Kadar populasi dewasa di Malaysia yang lengkap vaksinasi COVID-19 mencapai 91.4 peratus atau 21,399,802 setakat jam 11.59 malam tadi.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan yang disiarkan di portal COVIDNOW, sebanyak 95.1 peratus populasi dewasa atau 22,260,137 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Semalam, sejumlah 174,732 dos vaksin diberikan membabitkan golongan dewasa dan remaja.
Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Februari lalu meningkat kepada 46,633,404.
Bagi kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam, sejumlah 20.2 peratus atau 637,079 orang sudah melengkapkan suntikan vaksin, manakala 77.5 peratus atau 2,439,727 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK bagi golongan itu yang bermula sejak 8 September lalu.