23 NOV: Semua pihak digesa tidak mempolimikkan isu gangguan seksual dalam industri seni tanah air, sebaliknya bertindak secara proaktif termasuk membuat laporan polis kerana ia adalah perbuatan salah di sisi undang-undang.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, gangguan seksual bukan isu remeh selain boleh menyebabkan seseorang itu terkesan akibat trauma dan gangguan kesihatan mental.
Katanya, beliau telah memaklumkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan susulan sekiranya benar terdapat aduan berkaitan gangguan seksual dalam industri seni tanah air.
“Yang penting, mangsa gangguan seksual perlu melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan lanjut dapat diambil.
“Saya juga minta polis lakukan tindakan susulan kalau betul ada aduan (gangguan seksual) dalam industri, contoh ketika dalam penggambaran.
“Saya minta polis buat siasatan secara proaktif dan ambil tindakan. Tidak perlu polemik kerana kita ada undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Informatik Visual Ketujuh (IVIC’21), Putrajaya, hari ini.
Ahli Parlimen Ketereh itu mengulas laporan media yang pandangannya berkaitan gangguan seksual telah disalah tafsir.
Berhubung laporan media itu, Annuar menjelaskan beliau menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada wartawan untuk menemu bual mengenai tajuk gangguan seksual dalam industri seni tanah air di mana beliau kemudiannya mencadangkan agar tajuk temu bual menyentuh skop besar mengenai industri kreatif dan tidak tertumpu kepada isu gangguan seksual sahaja.
“Saya maksudkan ada perkara-perkara lain yang lebih besar berkaitan industri kreatif…malangnya tajuk gangguan seksual dijadikan tajuk berita bahawa saya kata isu gangguan seksual tidak perlu diperbesarkan…itu dah lain,” katanya.