10 JUN : Malaysia mengesan tiga kes COVID-19 Omicron membabitkan dua kes varian BA.5 dan satu jangkitan BA.4 yang merupakan kes pertama membabitkan penularan varian berkenaan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, kedua-duanya (varian BA.4 dan BA.5) dikategorikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai VOC-LUM (lineages under monitoring) di bawah varian Omicron.
Pada 16 Mei lalu, pegawai kesihatan Eropah menyenaraikan dua strain Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan, iaitu BA.4 dan BA.5 sebagai varian membimbangkan (VOC). BA.4 dan BA.5 pertama kali dikesan di Afrika Selatan masing-masing pada Januari dan Februari lalu.
Klasifikasi itu dibuat susulan subvarian Omicron berkenaan berupaya mengelak daripada perlindungan imuniti vaksin dan mungkin menguasai kes COVID-19 Eropah menjelang musim panas.
Pusat Pencegahan Penyakit dan Kawalan Eropah (ECDC) dalam laporan menyatakan, subvarian BA.4 dan BA.5 boleh menyebabkan lonjakan kes jangkitan COVID-19 di seluruh benua, sekali gus meningkatkan jumlah kemasukan ke hospital dan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU).
Sejak itu, kedua-dua subvarian terbabit menjadi strain dominan di negara itu, manakala BA.5 pula dijangka menjadi varian paling biasa di Portugal menjelang 22 Mei nanti.
Sementara itu, laporan ECDC juga menyatakan ketika ini tiada tanda sebarang perubahan dalam kadar keterukan jangkitan bagi BA.4 dan BA.5, berbanding subvarian Omicron sebelum ini.
Singapura dilapor merekodkan tiga penularan tempatan COVID-19 membabitkan dua kes varian BA.4 dan satu jangkitan varian BA.5 dengan ia adalah kes komuniti pertama disahkan sebagai jangkitan varian berkenaan.