24 Ogos : Makkah dilanda ribut petir dan hujan lebat secara tiba-tiba pada waktu Maghrib kelmarin mencetuskan suasana panik di Masjidil Haram.
Melalui perkongsian video di media sosial, kelihatan jemaah dan petugas pembersihan di Masjidil Haram cuba menyelamatkan diri daripada angin kencang yang menyebabkan sebahagian mereka menggelungsur ketika ditiup angin.
Malah, penghadang di pekarangan Masjidil Haram turut diterbangkan angin kuat itu serta beberapa kawasan banjir.
Menurut laporan media, ribut kuat yang melanda kawasan itu turut disusuli hujan air yang menyukarkan pergerakan.
Terdapat juga satu video tular yang menunjukkan kilat menyambar menara jam Abraj Al-Bait yang dikenali sebagai Menara Jam Makkah.
Untuk rekod, cuaca di seluruh wilayah Arab Saudi ketika ini panas.
Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan menyifatkan fenomena itu sebagai rahmat untuk mereka kerana suhu yang semakin meningkat dialami negara itu untuk beberapa tempoh ini.