6 JUN: Pengecualian 100 peratus duti eksport minyak sawit, isi rong mentah dan minyak isi rong sawit yang diproses mulai 1 Julai hingga 31 Disember ini akan meningkatkan nilai eksport komoditi itu.
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) semalam.
“Pengumuman ini pastinya akan membantu kita meningkatkan lagi nilai eksport sawit Malaysia ke luar negara, terutamanya negara India kerana kerajaan India tidak lagi melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit yang ditapis.
“Malah, ini jelas menunjukkan kecaknaan Perdana Menteri terhadap kepentingan sawit negara sekali gus akan membantu pekebun-pekebun kecil amnya dan pengusaha indusri khususnya untuk menerokai pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, harga minyak sawit mentah melonjak lebih awal berbanding jangkaan MPOB.
Ahmad Jazlan menjelaskan, harga komoditi tersebut meningkat ke RM2,366 satu tan pada 1 Jun lalu sebelum molonjak ke RM2,389.50 pada 3 Jun.
“Perkembangan ini akan memberi manfaat kepada 492,000 pekebun kecil dan 258,657 pekebun persendirian di seluruh Malaysia,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN