3 MAC: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersedia bersemuka dengan Nur Sajat bagi menyelesaikan kontroversi dicetuskan usahawan itu berhubung kenyataannya mahu keluar Islam.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata MAPIM yakin Nur Sajat mengeluarkan kenyataan itu ketika dalam keadaan tertekan dan emosi tidak stabil, bukan daripada lubuk hati sebenar.
Katanya, sebagai badan Islam, MAPIM berasa bertanggungjawab untuk melaksanakan peranan menangani isu seperti itu secara berhemah dan mencari penyelesaian terbaik.
“Kefahaman Sajat mengenai tanggungjawab pihak berkuasa sangat perlu dijelaskan dan kami berharap ada komunikasi yang lancar berlangsung antara dua pihak bagi mengelakkan salah faham.
“Jalan keluar kepada permasalahan ini adalah keperluan untuk menghormati tanggungjawab pihak berkuasa dan menggunakan pendekatan kasih sayang serta mendidik secara penuh hikmah,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Semalam, satu rakaman video memaparkan Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjat Kamaruzzaman, 36, yang mahu keluar Islam tular di media sosial.
Namun tidak dapat dipastikan bila tarikh video itu dimuat naik.
Berdasarkan rakaman video berdurasi 67 saat berkenaan, Nur Sajat mendakwa tindakannya itu susulan kenyataan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Mohd Azmi berkata, masyarakat Islam juga diharap tidak merumitkan lagi keadaan, sebaliknya menunjukkan kasih-sayang antara satu sama lain untuk menyelamatkan saudara seagama serta saling membantu menuju kebaikan.
MAPIM juga melihat Nur Sajat harus disokong dan dipandu dalam menjalani ujian kehidupan yang sangat mencabar pda zaman ini.
“Demi maruah dan kesucian Islam, kami berdoa Nur Sajat menjadi insan yang menyumbang kepada agama, bangsa serta negara dengan tidak bertindak seperti dinyatakannya,” katanya.